Friday, January 15, 2010

Search and Destroy

 "Saya mewakili penduduk di sekitar taman ini meminta bantuan kerajaan untuk mengawal wabak denggi yang berlaku di kawasan ini"

"Kerajaan harus bertanggungjawab dengan wabak denggi di sini"

Bila melihat mereka yang membuat kenyataan sedemikian di televisyen, saya amat geram. Padahal, langkah mencegah ini bermula dari masyarakat sendiri.

Apabila berkata tentang kawalan penyakit Denggi, kita perlu dulu mengawal 2 perkara utama iaitu serangga pembawa virus denggi iaitu nyamuk Aedes. Seperti manusia, terdapat 2 peringkat dalam kitar hidup nyamuk aedes iaitu dewasa dan kanak-kanak.



Untuk membunuh nyamuk dewasa semburan kabus boleh dilakukan. Semburan ini akan dilakukan apabila terdapat kes denggi di tempat anda diami. Ingat, semburan ini adalah untuk membunuh nyamuk dewasa sahaja.



 Jenti-jentik bergayut di lapisan atas air yang jernih.  
(http://medent.usyd.edu.au/photos/larvae_photographs.htm)






Melangkah ke alam dewasa.
(http://medent.usyd.edu.au/photos/larvae_photographs.htm)


Manakala nyamuk kanak-kanak atau jentik-jentik ini pula tidak berterbangan seperti yang dewasa. Sebab itulah, semburan asap tidak begitu berkesan. Jentik-jentik ini perlu dibunuh menggunakan racun khas. Cara lain yang lebih mudah dan organik ialah elakkan menyimpan bekas-bekas kosong yang boleh bertakung air. Nyamuk aedes boleh membiak dan jentik-jentik yang dihasilkan boleh hidup dalam bekas yang mempunyai isipadu air yang sikit sekalipun. Mereka boleh hidup sekiranya ketinggian air adalah 1cm sekalipun.


Sebab itulah penyakit denggi mudah untuk merebak dengan cepat. Ini kerana nyamuk yang membawa virus denggi tersebut amat mudah membiak dengan adanya kawasan membiak yang banyak yang kita sediakan untuk mereka.

Oleh itu, gotong royong amatlah digalakkan. Malangnya, konsep gotong royong dalam masyarakat kita sudah pun salah. Apabila berkata tentang gotong royong, segala aktiviti seperti menebas rumput, menebang pokok, korek longkang dan mengecat rumah akan mula terbayang. Sudah tentu ini semua membebankan.

Konsep ini harus berubah. Gotong royong perlulah bersifat "search and destroy". Konsep search and destroy ini adalah lebih mudah dilaksanakan dan memerlukan kerahan tenaga yang kecil dan tidak akan membasahi baju anda dengan peluh yang banyak. Apa yang anda perlu lakukan ialah kutip semua bekas-bekas terbiar disekeliling rumah anda. Pastikan air yang bertakung di pasu bunga dibuang, celahan-celahan pokok yang boleh mengumpul air dikeringkan atau dibuat aluran untuk air mengalir keluar dan segala sampah plastik dibuang ke dalam tong sampah. Pastikan segala tong kosong ditelungkupkan. Membiarkan tong yang berisi air selama 2 jam pun sudah cukup untuk membolehkan nyamuk Aedes bertelur.

Ringkasnya, pastikan tiada lopak air.

Nah kan mudah. Sekiranya tanah kawasan rumah anda luas, disyorkan supaya jarak kawasan dari rumah anda yang perlu dironda untuk membuang segala bekas yang boleh bertakung air ialah 200 meter.

Gotong royong ini tidak mengambil masa yang lama. Paling lama 30 minit.

Kosnya pula tidaklah mahal, cuma beberapa sen sahaja. Ini pun untuk membeli beg plastik sampah. Tidak perlu membeli cat atau berus cat yang baru.


Pehe ke dok pehe lagi? Jadi, selepas ini, untuk wabak  denggi yang berlaku, sebahagian besar dari punca wabak itu ialah rakyat sendiri.

Selamat mencuba.



No comments: