Thursday, March 17, 2011

Hujan Acid dan Radiasi

As Salam.

Baru baru ini, satu pesanan sms telah diedarkan berkenaan keperluan untuk mengelakkan diri dari terkena hujan asid yang berpunca dari loji nuklear yang meletup di negara Jepun. Sememangnya, pesanan tersebut telah disangkal dan dikatakan sebagi hoax. Ucapan terima kasih perlu diberikan kepada pembawa berita tersebut kerana mempunyai sikap ambil peduli. Namun, ini boleh menyebabkan keadaan panik sekiranya diterima bulat bulat.

Hujan Asid
Pembentukan hujan asid bukan berpunca daripada radiasi. Radiasi di sini merujuk kepada kesan daripada letupan bom atom ataupun daripada bencana kebocoran radiasi seperti yang kita maklum di negara Jepun. Hujan asid adalah kesan pengendapan gas gas pencemar di udara dengan hujan. Gas pencemar ini adalah sulfur dioksida (sulfur dioxide) dan nitrogen oksida (nitrogen oxide). Kedua duanya boleh dihasilkan secara semulajadi (reputan tumbuhan ataupun letusan gunung berapi) dan melalui aktiviti manusia (pembakaran terbuka dan pembakaran bahan api dari kenderaan). Pencampuran air hujan dengan gas pencemar di udara ini akan turun sebagai hujan asid. Sekiranya gas pencemar ini bercampur dengan salji atau kabut, maka salji dan kabut berasid akan terhasil. 

Keasidan hujan atau endapan tersebut ditakrif sebagai pH (potential of Hydrogen) 5.6 dan ke bawah. Air mempunyai pH neutral sebnyak 7.0.

Gas pencemar ini boleh bersepadu dengan partikel habuk dan asap. Habuk dan asap yang bercampur dengan gas pencemar tersebut akan hinggap pada bangunan dan pokok. Apabila bercampur dengan air hujan, lelehan yang terbentuk akan menjadi berasid. Separuh daripada keasidan di udara akan kembali ke bumi melalui cara ini.

Hujan asid tidak boleh menyebabkan kulit menjadi lecur serta merta. Kesan yang dihasilkan bersifat jangka panjang. Keadaan yang berasid boleh merosakkan bangunan dan mengancam kehidupan seperti pokok dan hidupan air. Letusan Gunung Merapi di Indonesia baru baru ini telah menghasilkan abu yang berasid. Abu tersebut telah hinggap pada monumen bersejarah Borobudur. Hujan yang menimpa akan menjadi berasid apabila bercampur dengan abu tersebut. Lelehan berasid yang terhasil akan menghakis batuan pada monumen tersebut. Oleh itu, pembersihan serta merta telah dilakukan untuk mengelakkan kerosakan pada monumen bersejarah terbabit.

Radiasi
Perkataan radiasi selalunya meresahkan ramai orang awam. Ini mungkin hasil daripada kesan pengeboman Hiroshima dan Nagasaki menggunakan bom nuklear semasa perang dunia kedua dahulu. Selain itu, krisis nuklear Chernobyl di Ukraine pada tahun 1986 yang mengakibatkan kesan radiasi yang dasyat terhadap kehidupan sekitarnya menambah kepada rasa bingung ini. 

Radiasi boleh dikategorikan kepada 2 jenis, yang boleh menghasilkan ion (ionizing raditaion) dan yang tidak boleh menghasilkan ion (non-ionizing radiation). Contoh radiasi ynag tidak boleh menghasilkan ion yang digunakan dalam kehidupan harian ialah microwave, infrared dan gelombang radio. 

Radiasi berion (ionizing radiation) adalah bahaya kepada manusia sekiranya tidak terkawal. Manusia menerima radiasi berion secara semulajadi dari angkasa lepas melalui sinaran kosmik (cosmic ray). Selain itu, pesakit juga menerima sinaran xray yang merupakan sejenis radiasi berion. Ukuran dedahan radiasi ini boleh diukur menggunakan unit Sievert (Sv). Purata dedahan radiasi yang dibenarkan pada orang awam adalah sebanyak 3.0 mSv setahun. 80% daripadanya berpunca dari radiasi semulajadi (background radiation). Jumlah dedahan radiasi yang dibenarkan untuk pekerja di sektor radiasi pula, tidak melebihi 100 mSv dalam 5 tahun dan tidak melebihi 50 mSv pada satu-satu tahun.

Radiasi boleh memberi kesan kepada tubuh manusia melalui 2 cara utama, secara luaran (radiasi secara terus, melalui air yang dicemari bahan radiasi) atau dalaman (pernafasan gas beradiasi dan makanan beradiasi).

Kesan Radiasi.
Radiasi yang tidak terkawal boleh memberikan kesan secara terus (deterministic) atau tertunda (stochastic). Kesan serta merta akan berlaku sekiranya terdedah kepada radiasi yang tinggi dalam masa yang singkat, contohnya demam radiasi (radiation sickness), kulit melecur dan kematian serta merta. Ini boleh berlaku apabila seseorang menerima 1.0 Sv, yakni 300 kali ganda dedahan radiasi yang dibenarkan selama setahun.  Kesan tertunda pula adalah kanser ataupun kesan kesan yang lain disebabkan perubahan genetik pada sel manusia akibat radiasi.

Perlindungan dari radiasi.
Dari perspektif kesihatan awam, cara terbaik ialah mengurangkan dedahan kepada radiasi. Ini dilakukan melalui pemindahan mangsa dari kawasan krisis radiasi dan perintah berkurung. Pil iodine (potassium iodide) juga akan diberikan sekiranya keadaan memerlukan (radiasi yang sangat tinggi dan membehayakan) untuk mengelakkan kanser kelenjar tiroid di kemudian hari. Pil iodine ini akan membantutkan serapan iodine beradiasi ke kelenjar tiroid sahaja. Pil ini bukan rawatan kepada dedahan sinaran radiasi. Namun, semua ini hanya sekiranya keadaan memerlukan, seperti mereka yang berada di kawasan krisis di Jepun sekarang ini. Faktor cuaca seperti angin dan hujan turut mempengaruhi keputusan untuk bertindak secara aktif atau tidak. Pantauan radiasi di 6 stesen di seluruh negara dan makanan yang diimport dari Jepun merupakan antara usaha untuk menjaga kesihatan awam negara ini.

Dengan ini, semoga orang awam akan sentiasa mendapatkan panduan dan berita terkini dari media yang sahih.

Sumber:
http://www.epa.gov/
http://www.who.int/ 
Nota persendirian.

No comments: